Khamis, 14 Disember 2023

MAKKAH AL-MUKARRAMAH PUN BANYAK PENIPU, INIKAN PULA SERAMBINYA

Hidup sudahlah menipu, sakau makanan dan barang-barang dapur pulak lagi. Kau rasa benda yang kau makan tu halal ke haram ? Kemudian sembang kerajaan menipulah, menindas. Dia sendiri jadi rakyat celaka menipu dan mengambil hak orang lain. Ptuih.

Hal ini berlaku di negeri serambi Mekah tau. Bukan negeri-negeri 'tak islamik' macam kita ni. Kita ni kalau jahat tak hairan, tapi kalau penduduk serambi Mekah buat perangai macam ini, mana penghayatan kau tentang Islam yang kau kata tertindas tu ?

Tapi macam biasalah, kalau di negeri dia, itu namanya ujian dari Allah sebab Allah sayang.

Tapi kalau negeri orang lain, itu namanya bala dari Allah sebab Allah murka.

Lantak kaulah.

Kasihan pada rakyat yang berhak mendapatkan bantuan tetapi gagal sebab orang-orang jahat ni dah ambil dahulu.

Orang macam ni patutlah dikenakan hudud. Cepat tangkap dan potong tangan mereka sebab mereka mencuri. Mencuri hukumnya potong tangan. Lebih-lebih lagi orang yang mampu tapi mencuri.

Mungkin ada yang nak juga bagi alasan, "Alaaaa... mana kita tahu dia orang susah."

Woi, itu bantuan untuk mangsa banjir. Kalau susah minta bantuan zakat, minta bantuan masjid, minta bantuan wakil rakyat kau. Bukan dengan mengambil hak orang lain.

Patutnya orang macam ni biarkan mati hanyut dek banjir senang cerita.

RANTAU PANJANG: Sebilangan penduduk di Kelantan didakwa sanggup menipu dengan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) semata-mata untuk mendapatkan bantuan banjir, sedangkan kediaman mereka tidak terkesan bencana itu atau setakat dinaiki air pada paras amat cetek.

Malah, ada dalam kalangan mereka dikatakan turut memanggil anak mereka yang berada di luar daerah lokasi banjir supaya pulang ke kampung halaman dan berpindah ke PPS untuk 'merebut' bantuan RM3,500 bagi setiap keluarga yang disediakan oleh kerajaan.

Tindakan tidak bertanggungjawab itu dipercayai menyumbang kepada situasi pendaftaran di hampir semua PPS di Pasir Mas kini dikatakan penuh, sedangkan cuaca semakin baik sejak beberapa hari lalu dan banjir baru-baru ini masih dianggap tahap biasa berbanding tahun sebelumnya.

Keadaan itu didakwa menyebabkan terdapat penduduk yang sepatutnya berpindah ke PPS dan benar-benar layak menerima bantuan berikutan rumah ditenggelami banjir, sebaliknya terpaksa menumpang di pondok dan surau berdekatan.

Lebih menyedihkan, golongan menipu itu dipercayai menggunakan pelbagai taktik, termasuk hanya hadir mendaftar untuk mendapatkan kupon makanan disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), manakala khemah disediakan terbiar kosong tanpa mereka tidur di PPS berkenaan.

Tinjauan BH di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To' Deh, di sini, lewat malam kelmarin, mendapati ada khemah hanya dihuni seorang individu dalam sesebuah khemah, seolah-olah sekadar 'cukup syarat' wakil keluarga tidur di PPS berkenaan.

Malah, kawasan sekitar khemah berkenaan juga dilihat kosong tanpa barang-barang dan pakaian bergantungan, tidak seperti suasana khemah mangsa banjir yang sebenar.

Keberadaan mereka yang dilihat setakat 'cukup syarat' itu dipercayai dibuat susulan langkah pihak berkuasa melakukan pemeriksaan pada waktu tengah malam atau awal pagi sejak Ahad lalu bagi memastikan hanya mangsa banjir yang benar-benar terkesan berlindung di PPS terbabit.

Penduduk Kampung Tersang, Mohd Irwan Faizal, 40, yang ditempatkan di PPS SK Gual To' Deh, ketika mendedahkan perkara itu mendakwa situasi yang berlaku kini sangat mengecewakan kerana ramai sanggup mengambil kesempatan demi mendapatkan bantuan banjir yang dianggap lumayan.

"Saya sudah sebati berpindah ke PPS kerana rumah dilanda banjir setiap tahun. Sebagai contoh di PPS SK To' Deh, selalunya bilangan paling ramai berpindah ke sini setiap kali banjir hanya sekitar 300 penduduk yang rumah mereka benar-benar ditenggelami banjir. Ketika itu, bantuan diberikan tidak lumayan sebagaimana tahun ini.

"Namun kali ini, jumlah itu meningkat sangat mendadak apabila penduduk yang berpindah hingga semalam (kelmarin) mencecah lebih 800 mangsa dalam tempoh tiga hari banjir. Tidak tahulah dari mana mereka datang sedangkan gelombang banjir kali ini dianggap sangat biasa.


 

"Ada yang saya kenal, rumah mereka tidak terkesan banjir tetapi sanggup berpindah ke sini dan lebih kecewa lagi, mereka tidak tinggal pun di PPS. Banyak khemah dianggarkan hampir separuh dilihat terbiar kosong, sedangkan ramai lagi mangsa banjir lebih layak berpindah ke PPS ini," dakwanya.

Malah, Mohd Irwan berkata, ketika hadir ke PPS itu beberapa hari lalu, beliau pada awalnya dimaklumkan ia sudah penuh.

Bagaimanapun, katanya, beliau bertegas untuk berlindung di pusat itu memandangkan paras air yang menenggelami rumahnya telah mencecah 0.5 meter.

"Justeru, saya turut membuat laporan kepada JKM dan pihak berkaitan supaya membuat siasatan serta pemeriksaan kerana ramai pihak disyaki mengambil kesempatan.

"Mereka dipercayai hanya hadir untuk mengambil makanan serta bantuan jika ada pihak yang datang membantu, dan kemudian pulang semula ke rumah masing-masing," katanya.

Seorang lagi mangsa banjir, Ariffin Ismail, 55, turut menzahirkan perkara sama apabila melihat banyak khemah kosong dan suasana di PPS begitu sunyi sedangkan bilangan mangsa banjir di pusat berkenaan direkodkan mencecah lebih 800 orang.

"Baru dua malam khemah nampak dihuni kerana mereka tahu mulai malam kelmarin (Ahad lalu), pihak berkuasa membuat pemeriksaan. Itu pun mereka hanya datang untuk tidur pada waktu malam.

"Kita faham apa yang berlaku bukan kesilapan kakitangan JKM kerana mereka tidak tahu rumah siapa dilanda banjir atau sebaliknya. Namun, saya sangat berharap pihak berkaitan dapat mencari jalan terbaik supaya hanya mereka yang benar-benar mangsa banjir dibenarkan ke PPS," katanya.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengaku ramai yang mendaftar sebagai mangsa banjir, termasuk menggunakan pelbagai taktik untuk ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan pada musim tengkujuh kali ini.

Pengarah JKM negeri, Said Sidup, berkata situasi itu bukan perkara baharu tetapi ia semakin ketara yang dikatakan berpunca daripada bantuan banjir yang banyak.

Beliau berkata, apabila kerajaan mengumumkan mangsa banjir wajib berpindah ke PPS bagi membolehkan mereka mendapat bantuan, ramai dipercayai mengambil kesempatan walaupun kediaman mereka tidak ditenggelami banjir.

"Kita sendiri pun agak musykil. Cuaca semakin baik sejak beberapa hari lalu, namun mangsa banjir meningkat hingga mencecah 6,009 orang. Malah, berlaku kekecohan di sebuah PPS di sini kerana terlalu ramai berebut untuk mendaftar menyebabkan kita terpaksa meminta bantuan polis bagi menyuraikan keadaan.

"Memang kita juga banyak menerima aduan dan desakan penduduk supaya mengekang situasi yang berlaku, namun ia bukan bawah bidang kuasa JKM. Ia bawah bidang kuasa Ketua Jajahan.

"Lagipun, kita sendiri tidak tahu rumah siapa yang ditenggelami banjir ataupun tidak, dan hanya menguruskan proses kemasukan pendaftaran bagi mereka yang hadir untuk berpindah," katanya kepada BH.

Said berkata, sebagai contoh di PPS SK Gual Tinggi, jumlah mangsa banjir direkodkan adalah 296 keluarga, setakat kelmarin.

Namun, beliau berkata, hampir 50 keluarga gagal dikesan pada waktu siang kelmarin ketika proses pengagihan bantuan keperluan asas yang disumbangkan oleh PETRONAS.

"Ini bermakna mereka dipercayai hanya mendaftar dan tidak tinggal pun di PPS itu. Disebabkan ada sebilangan mengambil kesempatan, kita tahu terdapat mangsa banjir terpaksa tidur di surau kerana PPS berdekatan rumah mereka sudah penuh.

"Kita sendiri kecewa dengan sikap segelintir penduduk yang sanggup mengambil kesempatan. Bayangkan kos makan setiap mangsa banjir adalah RM25 seorang sehari dan bagi 6,009 mangsa banjir, kerajaan membelanjakan lebih RM150,000 sehari," katanya.

Justeru, Said berkata, beliau akan mengusulkan permasalahan terbabit kepada Ketua Jajahan dan kerajaan negeri supaya pendekatan tertentu dilaksanakan dalam menangani isu banjir selepas ini bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan.


Ahad, 27 Ogos 2023

VIDEO SANUSI

Masalah yang sering kita hadapi di media sosial ialah kesahihan sebuah peristiwa. Sedangkan media cetak puluhan tahun seperti Harakah pun banyak kali disaman dan kalah, inikan pula media sosial yang sentiasa segar dengan cerita baru tetapi diambil daripada 'cerita lama'. Contohnya seperti inilah:

JOHOR BAHRU: Polis Johor menafikan ada sebarang penganjuran sambutan untuk Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) yang juga Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, di Johor.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata hasil siasatan pihaknya mendapati video mengandungi dakwaan itu yang tular melalui laman sosial TikTok, sebenarnya adalah berkaitan program KL Munajat di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, pada 15 Julai lalu.

Katanya, video itu telah disunting dengan memasukkan sorakan 'luaskan kuasamu Johor' untuk perkongsian oleh pengguna media sosial lain.

Susulan itu, beliau berkata, polis membuka kertas siasatan dan sedang mengesan individu bertanggungjawab bagi membantu siasatan.

"Hal ini dilihat berunsur provokasi dan fitnah yang boleh mendatangkan tanggapan buruk masyarakat.

"Perbuatan menyebarkan serta membuat spekulasi palsu adalah menyalahi undang-undang dan boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum denda atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Selain itu, boleh didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya.

"Polis menasihati orang ramai agar tidak mudah mempercayai dakwaan diperoleh daripada sumber tidak sah dan berkongsi maklumat itu sehingga boleh menjejaskan keharmonian serta kesejahteraan masyarakat," katanya. - BERITA HARIAN-

Video semacam ini dua saja puncanya:

a) Dia nak tunjuk pada lawan dia yang kononnya sekarang dia sedang kuat

b) Lawan dia nak tunjuk konon orang-orang ni biadap di tempat orang.

Nampak tak ? Sentimen memainkan peranan dalam kempen setiap pilihanraya yang ada di Malaysia ini. Sangat jaranglah kempen matang dan berwibawa berjalan di sana-sini. Masa Rafizi terangkan tentang isu air tempoh hari tu adalah sikit ilmu tambah yang kita dapat. Tapi itulah, kempen seperti itu tidak banyak dijalankan.

Apa yang ada hanyalah dia mengeji si dia dan janji-jani bersifat 'ugutan' di mana kalau lawan dia menang, perkara pertama yang akan dia laungkan ialah Melayu terancam. Perkara kedua agama Islam tertindas. Tapi kan, kempen seperti ini kalau dahulu ia sangat berbaur UMNO kan kan kan ? Hehehehe.


Selasa, 22 Ogos 2023

ABANG TESLA - CERITA TENTANG POLIGAMI

  • Menikah dengan jumlah lebih dari satu (poligami) ini adalah sesuatu yang digeruni para wanita masakini memandangkan kebanyakan lelaki yang mengamalkannya cenderung untuk berlaku sial terhadap isterinya yang pertama. Mereka kononnya menjunjung sunnah nabi yang satu ini, tetapi sunnah berlaku adil itu mereka taklah peduli sangat pun. 
  • Paling teruk, dah dapat kahwin baru, yang baru boleh pulak jadi punca yang pertama diceraikan. Mana tidaknya poligami ini dipandang serong oleh para wanita ? Sebab para pelakunya ramai yang khianat dan bingai sama sekali. Para lelaki yang takut dengan ketidakadilan yang mungkin boleh berlaku pula memilih untuk tidak terjebak dengan perbuatan seperti ini. Kesannya ? Poligami itu teruslah ditularkan dengan kisah-kisah tak senonoh.
  • Oh ya, bukan tak ada lelaki yang menjaga hubungan poligaminya dengan baik (Salih Yaakob sebagai contoh), tetapi hal seperti ini sering terpalit pula dengan satu lagi sentimen iaitu sentimen 'lelaki miang tak cukup satu nak tambah lagi'. Hal ini yang memberatkan lagi keadaan kerana situasi semasa membuktikan bahawa para pengamal poligami ini (termasuk yang baik-baik) cenderung untuk memilih wanita yang cantik dan bergetah berbanding dia mencari para ibu tunggal yang susah dan perlu dibela (sunnah asal poligami adalah ini, bukan semata-mata cantik).
  • Nabi Muhammad s.a.w. adalah contoh terbaik. Ketika Khadijah r.a. masih hidup, ada cerita tentang poligami muncul dalam riwayat hidup baginda ? Bahkan tidak. Menarik lagi, anak dara yang dinikahi baginda hanya Aishah r.a. seorang. Selebihnya adalah janda dan seorang dari kalangan hamba. Nabi menikahi mereka ini bukan atas dasar nabi itu miang tak boleh tengok perempuan cantik, tetapi kesemuanya adalah bertujuan memuliakan dan menjaga para wanita ini.
  • Nabi juga tahu betapa beratnya tanggungjawab pernikahan itu sehinggakan nabi menasihati bahawa sekiranya kamu takut tidak berlaku adil, maka nikahilah seorang sahaja. Jadi, orang-orang yang mengamalkan poligami ini perlu menjawab kepada pesan nabi yang satu ini - engkau semua yakin berlaku adil kepada pasangan-pasangan engkau semua ?
  • Poligami ini sebegitu teruk tercemar imejnya sehinggakan timbul kumpulan para wanita yang hidupnya menentang sistem ini dengan alasan ia karut dan menindas wanita. Nampak tak impaknya ? Mereka bahkan nekad menentang sesuatu yang tidak pernah Allah larang, itukan sudah melibatkan akidah. Jadi para lelaki ini sepatutnya bertanggungjawab memulihkan imej poligami daripada ia dikaitkan dengan soal memuaskan tembolok nafsu masing-masing kepada pemeliharaan maruah dan nasib wanita-wanita malang yang kematian atau kehilangan suami dan tempat bergantung. 
  • Para wanita yang membanting tulang menyara hidup menjaga anak tanpa ditemani suami di sisi yang sepatutnya menjadi perhatian para pencinta poligami. Tetapi, kebiasaan wanita ini pula memilih untuk 'stay single' memandangkan telah selesa mencari rezeki sendiri tanpa perlu mengambilkira pendapat orang atau suami sekiranya berkahwin.
  • Perkahwinan itu dahulunya amat mulia tujuannya demi untuk membina masyarakat yang baik. Hal ini kerana masyarakat yang baik terbentuk dari keluarga yang baik-baik. Dan poligami ini adalah salah satu jalan yang disediakan oleh nabi untuk memastikan para wanita yang kehilangan tempat bergantung mendapat pembelaan sewajarnya daripada para lelaki yang budiman dan mampu memberikan nafkah.
  • Jadi, cerita abang tesla yang beria-ia mencanang dirinya menikah satu lagi sampai isterinya menangis teresak-esak adalah sesuatu yang tidak patut sama sekali dicanangkan kerana ia boleh menimbulkan fitnah yang tidak berkesudahan. Tambahan pula mainan cerita dari media-media sosial yang turut membuka banyak pintu-pintu pertikaian. 
  • Mahu hidup jujur juga perlu cerdik. Jangan jadi bodoh tak tentu arah.
  • Nah, kalau mahu canang parti politik kau memperjuangkan Islam, bawa isu ini ke tengah. Suruh ostat-ostat kau sampaikan pesan kepada para lelaki di luar sana supaya berlaku adil kepada wanita. Hal ini nampak kecil, tapi impaknya besar pada masyarakat. Wanita tidak mahu lagi bergantung harap kepada lelaki dan dari sini, ia boleh pula membuka fitnah kecenderungan seksual yang maha dahsyat balanya kepada kita iaitu LGBTQ.

Isnin, 21 Ogos 2023

KEPAKARAN MISBUN

Kenapa setiap kali kita memiliki permata, permata tersebut akan hilang kemilaunya sebelum ia diambil dan 'dimanjakan' oleh ORANG LAIN dan kita jelas kerugian?

Saya benci dengan keadaan ini di negara kita, terutamanya dalam bidang sukan. Memandangkan saya suka pada sukan badminton, jadi berita ini sangat mengecewakan saya. 

PETALING JAYA: Bekas pengendali badminton negara, Datuk Misbun Sidek tidak menolak kemungkinan untuk berhijrah ke negara luar buat julung kali dalam kariernya.

Bagaimanapun Misbun belum dapat memberikan sebarang kata putus mengenai tawaran yang diterimanya memandangkan masih mahu berehat selepas berpisah dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Biarpun dia tidak mendedahkan butiran lanjut tawaran yang diterimanya, difahamkan negara jiran seperti Singapura dan Thailand sedang berusaha untuk melantik pengendali berusia 63 tahun itu serta tiga buah negara lagi.

Seandainya dia bersedia untuk ke luar negara, Misbun mahu negara tersebut bersedia dengan kaedah latihannya tanpa ada campur tangan birokrasi.

“Memang hati saya untuk negara, tetapi kalau khidmat saya masih ditagih oleh luar negara, mereka mahukan ideologi saya untuk membentuk pemain mereka, apa salahnya?

“Kalau ikutkan tawaran itu untuk pasukan senior, yang mereka mahukan adalah dari segi sentuhan penyudah, untuk mengajar mereka bagaimana mahu mencapai kemenangan.

“Saya belum keputusan yang muktamad, kerana ia bergantung kepada beberapa syarat tertentu yang saya telah kemukakan, tetapi untuk buat masa sekarang, saya mahu berehat terlebih dahulu kerana sudah lama saya tidak berehat,” jelas Misbun dalam satu sidang media di ibu kota semalam.

Sekiranya dia bersetuju, Misbun turut bercadang untuk membawa bersama adiknya, Datuk Seri Jalani Sidek sebagai penganalisa.

Dalam masa yang sama, Misbun juga menjelaskan faktor utama dia enggan menerima semula tawaran dikemukakan BAM adalah tidak mahu mengganggu perancangan skuad remaja yang bersiap untuk menghadapi Kejohanan Remaja Dunia yang akan berlangsung di Washington, Amerika Syarikat (AS) 23 September depan.

“Saya telah membuat keputusan untuk menolak tawaran itu kerana saya tidak mahu ganggu persiapan skuad remaja ke kejohanan dunia, mungkin perancangan sudah diatur.

“Memang saya yang aturkan program, sejak dari kejohanan dunia tahun lalu. Tetapi kali ini saya akur, kerana dalam tempoh dua minggu ini banyak perkara telah berlaku dan kesuntukan waktu,” tambahnya.-UTUSAN

Bagi negara-negara yang sedang memburu orang terbaik bagi membimbing skuad badminton mereka, keadaan Misbun sekarang ini adalah 'their loss is our gain'. Bagi mereka, Malaysia telah menolak satu permata negara mereka, jadi kita ambillah permata itu dan gilap mengikut acuan kita. Rashid Sidek pun sudah 'blah' dari BAM. Tapi tengok dia melatih atlit paralimpik apa jadi ? Bukan main membanggakan keputusannya. Kita pun terkejut dengan kemenangan Cheah Liek Hou. 

Misbun adalah permata negara. Kalau orang lain dah 'rembat' dan akhirnya mereka memalukan kita di pentas antarabangsa, tahulah kita apa yang telah kita lepaskan hanya kerana perkara-perkara bersifat politik.

MENTERI BESAR SELANGOR - AMIRUDIN SHARI

Sultan Selangor dengan berkat daulat dan kebijaksanaannya telah memperkenankan pelantikan Amirudin Shari sebagai Menteri Besar Selangor untuk penggal yang baharu, sekaligus menamatkan teka-teki sama ada beliau digugurkan atau tidak. Selangor dalam keadaan sekarang hakikatnya adalah sebuah negeri yang amat istimewa dari sudut kaca mata ahli politik memandangkan ia adalah negeri yang terkaya di semenanjung. Siapa yang tak mahu pegang tampuk pentadbiran (saya lebih suka guna perkataan pentadbiran berbanding pemerintahan kerana pemerintah Selangor adalah sultannya, yang lain itu hanya pentadbir yang mengiringi pemerintah) sebuah negeri yang kaya weyh. 


KLANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua, Datuk Seri Amirudin Shari sekali lagi dilantik sebagai Menteri Besar Selangor dalam satu istiadat di Istana Alam Shah, hari ini.

Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Aku Janji serta pengurniaan Surat Cara Lantikan itu diadakan di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Sebelum itu, kehadiran Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor itu di Istana Alam Shah dekat sini, pagi tadi, menamatkan teka teki sama ada beliau kekal menjadi Menteri Besar Selangor bagi penggal baharu.

Amirudin yang berbaju Melayu hitam lengkap bertanjak tiba di Balai Rong Seri Istana Alam Shah bersama isteri, Datin Seri Masdiana Muhamad.

Amirudin turut melafazkan ikrar Aku Janji merangkumi beberapa perkara yang perlu beliau penuhi dan patuhi sepanjang memegang jawatan itu.

Antara Aku Janji itu ialah menyimpan rahsia perbincangan bersama Sultan Selangor dengan pihak luar; menjunjung tinggi Rukun Negara; memelihara dan memastikan agama Islam tidak diganggu gugat serta menghormati agama lain; memelihara institusi raja daripada dicaci dan diganggu; memelihara kedudukan istimewa orang Melayu serta kepentingan sah kaum lain serta melaksanakan tugas dengan penuh integriti dan bertanggungjawab, selain memastikan kemakmuran negeri ini di tahap tertinggi.

Amirudin turut melafazkan untuk bersedia ditimpa bencana diturunkan Allah serta daulat Sultan Selangor jika melanggar sumpah sebagai Menteri Besar Selangor.

Istiadat itu turut disaksikan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Amirudin memegang jawatan Menteri Besar sejak 2018 berjaya mempertahankan kemenangan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor baru-baru ini.

Beliau adalah Menteri Besar Selangor yang termuda dalam sejarah kerajaan negeri apabila dilantik ke jawatan itu pada usia 38 tahun, pada 2018.

Beliau mempertahankan kerusi Sungai Tua berkenaan sejak 2008 dan pernah dilantik sebagai EXCO Pemberdayaan, Generasi Muda dan Sukan, Pembangunan Usahawan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi negeri.

Pada PRN lalu, Amirudin menang dengan jumlah undi 19,678 meninggalkan calon Perikatan Nasional (PN), Hanif Jamaluddin dan calon Bebas, Suman Gopal.

Amirudin yang pernah diumum oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Menteri Besar jika gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan raya, dilantik ke jawatan itu selepas PH-BN memenangi 34 daripada 56 kerusi DUN pada PRN 12 Ogos lalu.


Dari zaman Barisan Nasional memegang tampuk pentadbiran kerajaan persekutuan lagi mereka telah cuba untuk 'merampas' negeri Selangor dari 'cengkaman' Pakatan Harapan (formerly known as Pakatan Rakyat). Malangnya, secara mutlak mereka gagal. Demografi penduduk di Selangor ini sangat memainkan peranan dalam corak pengundian Pilihanraya Negeri dan juga Pilihanraya Umum. 

Sekarang, Pakatan Harapan - Barisan Nasional berhasil memegang pentadbiran Selangor. Cuma, terdapat peningkatan yang ketara dari Perikatan Nasional. 

Kalau ditanya sama ada PH-BN perlu risau atau tidak dari sudut ketahanan politik mereka, jawapannya ialah YA. Mereka perlu risau. Ia adalah bukti bahawa buatlah apa pun kebajikan dan kebaikan, sentimen yang melibatkan cerita-cerita seperti penindasan kaum, golongan liberal yang dilihat cuba merosakkan Islam akan terus dimainkan secara halus. Kita orang Melayu ni dia ada lemau sikit bab ugama ni. Kau keluarlah berita tentang peguam cabar keputusan mahkamah syariah (contoh), itu sudah cukup untuk dijadikan sentimen bahawa Islam di Malaysia DALAM BAHAYA. Takkan kita nak sokong kerajaan yang biarkan ISLAM di Malaysia dalam bahaya, ye tak ?

Untuk ini, jalan singkat yang akan dipilih ialah dengan menarik sokongan bukan Melayu. Malangnya, mereka ini tidak ramai dan bukan majoriti. Mereka boleh menyokong, tetapi sokongan mereka tidak kuat. MUDA ? Ah, Muda dari awal ambil pendekatan bodoh dengan bertanding solo. Undi orang muda semakin terpecah. Meskipun tidak ramai, tetapi tetap signifikan dalam menentukan corak orang mengundi.

Oh ya, mungkin kita boleh bercakap sedikit tentang Tun Mahathir. Tun Mahathir menyertai pentas PAS baru-baru ini. Katalah apa pun, suara Tun Mahathir ini jangan dibuat main-main. Kempennya dahulu amat memainkan peranan dalam menarik undi orang Melayu luar bandar sehingga BN ditendang jatuh oleh orang Melayu sendiri. Susah woh nak tukar undi orang Melayu luar bandar. Seperti mana orang kata undi orang Cina sudah 'fix' kepada DAP, begitulah juga dengan Melayu luar bandar yang setia dengan UMNO dahulunya. 

Tapi, kalau Tun Mahathir datang dan membawa naratif politiknya kepada pengundi dengan gaya bahasa yang kering, tidak beretorik dan straight to the point, kau rasa ia tak akan tinggalkan kesan kepada minda pengundi ? Hishamuddin Rais sendiri akui aura Mahathir semasa kempennya dahulu yang menyaksikan Pakatan Harapan berjaya menjatuhkan Barisan Nasional yang amat berkuasa dari sudut media dan duit. Bersatu yang diasaskannya dahulu apa pun tak ada. Bertanding pun pinjam logo PKR, tapi boleh menang besar. 

Kemudian berlaku pengkhianatan. Dia keluar bersatu, asaskan Pejuang, Pejuang kalah teruk ketika PRU, dia sertai pulak PN yang ada Bersatu di dalamnya untuk kempen PRN baru-baru ini. Inilah politikus sejati. Tak ada musuh abadi dalam diri aku. Semua boleh jadi kawan asalkan matlamat berjaya dicapai.

Saya kira, ahli politik di Selangor sangat perlu merenung kembali sejarah mereka sendiri. Pelantikan Amirudin Shari ini adalah rasmi, dan lebih banyak benda-benda remeh yang merencatkan kredibilitinya yang bakal menyusul, sebab Perikatan Nasional semakin melebarkan sayapnya di Selangor. Seorang Menteri Besar yang memimpin pentadbiran sebuah negeri yang kaya, kau bayangkan berapa banyak isu yang boleh ditimbulkan ? Zaman arwah Khalid Ibrahim dulu, pengurusan sampah pun boleh jadi cerita yang mencacatkan namanya.

Tahu apa masalah orang kita sekarang ini ? Orang kita sekarang ini suka menyokong orang yang SUKA buat kenyataan BODOH. Sebab orang bodoh yang berani itu nampak lebih berwibawa daripada orang pandai yang diam. Jadi ? Orang pandai pun sekarang kena bising sikit, jangan biar orang bodoh menguasai dan menjadi tarikan media.